- Karangan jenis fakta memerlukan isi-isi dan hujah-hujah yang lojik,benar dan menepati kehendak soalan.
- Fakta-fakta yang dikemukakan oleh murid mestilah cukup dan menarik.Hal ini, bermakna murid perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang topik yang dikemukakan.
- Murid perlu mahir mengembangkan idea-idea utama dengan huraian dan contoh yang lengkap.
- Bahasa yang digunakan mestilah padat, menarik serta menyakinkan.
- Ayat-ayat yang ditulis mestilah mudah difahami.
- Isi-isi yang dihuraikan perlulah bijak dan matang.
- Karangan jenis ini mempunyai format yang umum, iaitu pendahuluan, isi dan kesimpulan.
Jumlah kes kemalangan jalan raya di negara ini semakin meningkat. Huraikan punca-punca kemalangan jalan raya.
Rangka karangan
Pendahuluan :
Setiap tahun - statistik kemalangan jalan raya - kian meningkat - musim perayaan - membawa kecederaan dan juga kematian
Isi-isi penting :
- Punca utama - kecuaian pemandu - memandu dalam keadaanmabuk - mengancam nyawa pengguna jalan raya - bersikap mementingkan diri - melebihi had laju yang ditetapkan
- Menbawa muatan melebihi had yang ditetapkan - kenderaan - keretan sedan - jumlah penumpang - lima orang - lebih daripada lima orang - terbabit dalam kemalangan - tidak dapat menampung muatan yang berlebihan
- Keadaan jalan raya - berlopak dan bersimpang siur - menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan - mengundang kecelakan jalan raya
- Keadaan kenderaan - brek yang tidak berfungsi dengan baik - mendatangkan bahaya - pengguna jalan raya
Kadar kemalangan jalan raya - semakin membimbangkan - tindakan tegas perlu dikenakan - menjalankan Ops Sikap - membendung masalah
Karangan Lengkap
Setiap tahun, statistik kemalangan jalan raya di negara kita kian meningkat. Apabila tiba sesuatu musim perayaan, kemalangan jalan raya begitu kerap berlaku. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mencatatkan angka kematian yang tinggi akibat kemalangan jalan raya.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia ( PDRM ), punca utama kemalangan jalan raya di negara kita disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Banyak pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk. Keadaan ini boleh membahayakan serta mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Terdapat juga pengguna jalan raya yang bersikap mementingkan diri dengan memandu kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan. Ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malahan juga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Selain itu, kemalangan jalan raya juga disebabkan oleh pengguna jalan raya yang membawa muatan melebihi had yang ditetapkan untuk kenderaan tersebut. Misalnya, bagi pengguna jalan raya yang membawa kereta sedan seperti Proton Wira atau Proton Persona, jumlah penumpang yang boleh dibawa ialah lima orang sahaja. Jika kenderaan tersebut membawa penumpang lebih daripada lima orang, kebarangkalian untuk terbabit dalam kemalangan lebih tinggi kerana kenderaan itu tidak dapat menampung muatan yang berlebihan. Hal ini demikian kerana terdapat beberapa komponen kereta seperti tayar akan menjadi haus kerana tidak dapat mencengkam jalan dengan lebih baik akibat tekanan yang dikenakan terhadap kenderaan itu terlalu berat.
Keadaan jalan raya yang tidak baik juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya. Di negara kita, terdapat sesetengah jalan raya yang berlopak dan bersimpang-siur. Hal ini menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan ketika memandu sehingga kecelakaan jalan raya. Oleh itu, keadaan jalan raya harus dibaiki supaya lebih selamat untuk digunakan oleh pengguna jalan raya.
Malah, keadaan kenderaan yang tidak baik turut mengakibatkan kemalangan jalan raya. Misalnya, brek yang tidak berfungsi dengan baik boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya. Hal ini disebabkan brek merupakan salah satu komponen kenderaan yang penting dalam memastikan perjalanan yang selamat. Lantaran itu, pengguna jalan raya disarankan untuk memeriksa keadaaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan terutama perjalanan yang jauh.
Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara kita semakin membimbangkan. Oleh itu, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang. Pihak berkuasa juga perlu giat menjalankan Ops Sikap untuk membendung masalah ini. Bak kata pepatah,'pandu cermat jiwa selamat'.
No comments:
Post a Comment