Tuesday 25 December 2012

Jom Jenguk Karangan Berita

Nota :
  • Karangan berita ditulis untuk mengisahkan sesuatu aktiviti, kejadian, atau program yang baru berlaku.
  • Maklumat dalam penulisan berita mestilah lengkap dan logik agar pembaca memperoleh maklumat yang jelas.
  • Penulisan berita mestilah menjawab persoalanan :
                a) apa
               b) di mana
              c) bila
             d) mengapa
            e) siapa     
            f) bagaimana
  • Petikan kata daripada pihak-pihak tertentu boleh ditulis dalam berita bagi memantapkan karangan.
  • Bahasa yang digunakan dalam karangan berita hendaklah padat dan ringkas.
  • Format penulisan berita adalah seperti berikut :
           a) Nama tempat ditulis dengan huruf besar di sebelah kiri perenggan pertama
               dan diikuti tanda koma ( , )
         b) Hari atau tarikh ditulis selepas tanda koma dan diikuti tanda sempang ( - )
                       Contoh : PUTRAJAYA, Isnin -

Latihan :
Satu program kecemerlangan akademik telah diadakan oleh pihak sekolah kamu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) di sekolah. Kamu telah ditugaskan untuk menulis berita tentang program kecemerlangan akademik tersebut.

Rangka karangan :
Pendahuluan : tempat peristiwa dan tarikh - Program Kecemerlangan Akademik
Idea 1              : lokasi program kecemerlangan diadakan - jangka masa program - perasmi
                          program
Idea 2             : objektif program kecemerlangan - teknik menjawab soalan - berdisiplin
                         dan yakin diri
Idea 3            : pelbagai bentuk aktiviti - ceramah, bengkel, renungan - dikendalikan oleh
                        Guru Pakar
Idea 4           : menurut seorang peserta - memperoleh banyak ilmu - yakin untuk menghadapi
                       UPSR
Penutup      : upacara penutup program - Yang Dipertua PIBG - cemerlang, disiplin, pekerti
                      mulia

Karangan Lengkap :

ALOR SETAR, Sabtu - Sekolah Kebangsaan Taman Mergong Jaya dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) sekolah terbabit mengadakan Program Kecemerlangan Akademik yang bermula pada 20 April 2012 dan berakhir pada 21 April 2012. Program ini dihadiri oleh 85 orang murid. Program tersebut mendapat sambutan yang amat memuaskan daripada ibu bapa dan penjaga murid.

      Program Kecemerlangan Akademik yang berlangsung di bangunan Menara Jaya di sini telah dirasmikan olej Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah. Tuan Haji Asmee bin Haji Tajuddin. Menurut  Tuan Haji Asmee, objektif program ini untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik belajar yang berkesan. Para peserta juga dibimbing tentang cara menjawab soalan UPSR yang betul dan pengurusan masa yang baik. Selain itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan disiplin dan yakin diri dalam kalangan murid.

      Program Kecemerlangan ini diisi dan disuntik dengan pelbagai bentuk serta teknik penyampaian ilmu yang berkesan. Antaranya termasuklah ceramah, bengkel, kembara akademik, dan sesi renungan. Seramai enam orang guru yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing telah mengendalikan program kecemerlangan akademik ini.

      Menurut seorang peserta program, Dhia Irdina binti Ahmad Rafaei, dia berasa sungguh gembira kerana berpeluang untuk mengikuti program tersebut. Menurutnya lagi, setelah mengikuti program tersebut, dia memperoleh banyak tip pembelajaran. Di samping itu, dia juga lebih berkeyakinan untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan datang.

      Upacara perasmian penutup Program Kecemerlangan Akademik ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Mergong Jaya, Tuan Haji Arif bin Ahmad Saufi. Beliau mengharapkan program ini dapat melahirkan murid yang cemerlang, berdisiplin, dan bepekerti mulia.

Friday 7 December 2012

Jom Baca Karangan Surat Tidak Rasmi

Nota
  • Surat tidak rasmi  ditulis kepada seseorang yang rapat dengan kita seperti adik-beradik, saudara-mara, atau sahabat handai.
  • Kandungan surat biasanya tentang hal peribadi seperti mengucapkan tahniah atau takziah, menceritakan sesuatu perkara dan sebagainya.
  • Bahasa yang digunakan mestilah mudah, tepat dan padat.
  • Penggunaan ungkapan yang menarik seperti peribahasa dalam penulisan  surat kiraman tidak rasmi amat digalakkan agar kandungan surat menarik perhatian pembaca.

Latihan
Pada cuti sekolah nanti,kamu sekeluarga bercadang untuk menziarahi nenek kamu di kampung. Tulis sepucuk surat kepada nenek kamu itu untuk menyatakan hasrat tersebut.

Rangka karangan

Pendahuluan
- alamat lengkap pengirim - tarikh

Idea 1 - pembuka kata - salam sayang kepada nenda berdua - keluarga sihat sejahtera

Idea 2 - keluarga berkirim salam - mendoakan kesihatan nenda - risau akan kesihatan nenda

Ide 3 - cuti sekolah hampir tiba - bercadang pulang ke kampung

Idea 4 - menyewa bot dan memancing ikan - persisiran pantai Kuala Perlis

Penutup - berjanji akan mengutus surat lagi - salam kasih dan sayang


                                            120,Jalan Desa Melur,
                                            Taman Desa Melur,
                                            Senawang,
                                            70450 Seremban,
                                            Negeri Sembilan.

                                            8 November 2012.

Menemui nenda suami isteri yang berada di Kampung Seberang Rahmal, Kuala Perlis. Ketika cucunda menulis surat ini, cucunda sekeluarga berada dalam keadaan sihat walafiat. Diharapkan
nenda berdua juga dalam payung kerahmatan Yang Maha Esa.

Nenda yang disayangi,

     Ayahanda dan bonda berkirim salam kepada nenda berdua. Kami selalu berdoa semoga nenda berdua dalam keadaan sihat sejahtera. Kadang-kadang ayahanda dan bonda risau memikirkan keadaan dan kesihatan nenda yang tinggal berdua sahaja di kampung. Kami berharap agar nenda berdua sentiasa menjaga kesihatan terutama pemakanan nenda setiap hari.

     Cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi.Untuk pengetahuan nenda,kami bercadang untuk pulang ke kampung bagi mengziarahi nenda berdua.Di samping itu, cucunda juga ingin melepaskan rasa rindu terhadap nenda berdua kerana sudah agak lama juga kami tidak berjumpa dengan nenda berdua. Cucunda tidak sabar-sabar menanti cuti persekolahan tiba untuk bertemu dengan nenda dan menghabiskan cuti bersama-sama.

     Ayahanda telah menyuarakan hasratnya ingin menyewa sebuah bot untuk membawa kami memancing ikan, terutama ikan kerapu di Laut Cina Selatan di kawasan persisiran pantai Kuala Perlis. Kata ayahanda, terdapat banyak ikan kerapu di persisiran pantai Kuala Perlis dan saiznya pula besar-besar. Nenda bolehlah turut serta dalam aktiviti memancing ini nanti. Cucunda tidak sabar untuk menimba pengetahuan dan pengalaman ketika berada di lautan besar nanti. Cucunda dapat rasakan keseronokan yang menanti.

     Nampaknya sudah panjang lebar cucunda menulis warkah buat tatapan nenda berdua kali ini. Jika ada kelapangan, cucunda akan menulis surat lagi. Cucunda akhiri dengan ucapan salam kasih sayang daripada kami di sini.

Sekian terima kasih.

                                              Cucunda yang jauh,

                                                    natasha

Thursday 22 November 2012

Mari Baca Karangan Fakta

Nota: 
  • Karangan jenis fakta memerlukan isi-isi dan hujah-hujah yang lojik,benar dan menepati kehendak soalan.
  • Fakta-fakta yang dikemukakan oleh murid mestilah cukup dan menarik.Hal ini, bermakna murid perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang topik yang dikemukakan.
  • Murid perlu mahir mengembangkan idea-idea utama dengan huraian dan contoh yang lengkap.
  • Bahasa yang digunakan mestilah padat, menarik serta menyakinkan.
  • Ayat-ayat yang ditulis mestilah mudah difahami.
  • Isi-isi yang dihuraikan perlulah bijak dan matang.
  • Karangan jenis ini mempunyai format yang umum, iaitu pendahuluan, isi dan kesimpulan.
Latihan :
Jumlah kes kemalangan jalan raya di negara ini semakin meningkat. Huraikan punca-punca kemalangan jalan raya.

Rangka karangan

Pendahuluan :
Setiap tahun - statistik kemalangan jalan raya - kian meningkat - musim perayaan - membawa kecederaan dan juga kematian

Isi-isi penting :
  • Punca utama - kecuaian pemandu - memandu dalam keadaanmabuk - mengancam nyawa pengguna jalan raya - bersikap mementingkan diri - melebihi had laju yang ditetapkan
  • Menbawa muatan melebihi had yang ditetapkan - kenderaan - keretan sedan - jumlah penumpang - lima orang - lebih daripada lima orang - terbabit dalam kemalangan - tidak dapat menampung muatan yang berlebihan
  • Keadaan jalan raya - berlopak dan bersimpang siur - menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan - mengundang kecelakan jalan raya
  • Keadaan kenderaan - brek yang tidak berfungsi dengan baik - mendatangkan bahaya - pengguna jalan raya
Penutup :
Kadar kemalangan jalan raya - semakin membimbangkan - tindakan tegas perlu dikenakan - menjalankan Ops Sikap - membendung masalah

Karangan Lengkap

      Setiap tahun, statistik kemalangan jalan raya di negara kita kian meningkat. Apabila tiba sesuatu musim perayaan, kemalangan jalan raya begitu kerap berlaku. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mencatatkan angka kematian yang tinggi akibat kemalangan jalan raya.

      Menurut statistik Polis Diraja Malaysia ( PDRM ), punca utama kemalangan jalan raya di negara kita disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Banyak pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk. Keadaan ini boleh membahayakan serta mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Terdapat juga pengguna jalan raya yang bersikap mementingkan diri dengan memandu kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan. Ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malahan juga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

      Selain itu, kemalangan jalan raya juga disebabkan oleh pengguna jalan raya yang membawa muatan melebihi had yang ditetapkan untuk kenderaan tersebut. Misalnya, bagi pengguna jalan raya yang membawa kereta sedan seperti Proton Wira atau Proton Persona, jumlah penumpang yang boleh dibawa ialah lima orang sahaja. Jika kenderaan tersebut membawa penumpang lebih daripada lima orang, kebarangkalian untuk terbabit dalam kemalangan lebih tinggi kerana kenderaan itu tidak dapat menampung muatan yang berlebihan. Hal ini demikian kerana terdapat beberapa komponen kereta seperti tayar akan menjadi haus kerana tidak dapat mencengkam jalan dengan lebih baik akibat tekanan yang dikenakan terhadap kenderaan itu terlalu berat.

      Keadaan jalan raya yang tidak baik juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya. Di negara kita, terdapat sesetengah jalan raya yang berlopak dan bersimpang-siur. Hal ini menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan ketika memandu sehingga kecelakaan jalan raya. Oleh itu, keadaan jalan raya harus dibaiki supaya lebih selamat untuk digunakan oleh pengguna jalan raya.

      Malah, keadaan kenderaan yang tidak baik turut mengakibatkan kemalangan jalan raya. Misalnya, brek yang tidak berfungsi dengan baik boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya. Hal ini disebabkan brek merupakan salah satu komponen  kenderaan yang penting dalam memastikan perjalanan yang selamat. Lantaran itu, pengguna jalan raya disarankan untuk memeriksa keadaaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan terutama perjalanan yang jauh. 

      Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara kita semakin membimbangkan. Oleh itu, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang. Pihak berkuasa juga perlu giat menjalankan Ops Sikap untuk membendung masalah ini. Bak kata pepatah,'pandu cermat jiwa selamat'.
 

Wednesday 14 November 2012

Jom Baca Karangan Cereka

Nota
  •  Karangan jenis cereka bercorak kreatif atau cerita rekaan seperti cerita khayalan, cerpen dan cerita jenaka. 
  • Murid perlu melengkapkan cerita berpandukan pendahuluan cerita atau penutup cerita yang diberikan.
  • Dalam menghasilkan karangan ini, murid boleh menulis berdasarkan pengalaman sendiri atau berimaginasi.
  • Selain itu, cerita yang akan ditulis itu perlu memaparkan dya kreatif, mencabar dan mampu menarik minat pembaca.
  • Sebaik-baiknya urutan sesuatu cerita mestilah menarik dari suatu peristiwa ke suatu peristiwa yang lain.
Latihan :
' Hari ini, keputusan peperiksaan akan diumumkan. Aku tidak sabar-sabar untuk pergi ke sekolah.Setelah bersarapan dan menyalami ibu bapaku, aku turun ke bawah rumah untuk mengambil basikal burukku. Aku mengayuh basikal ke rumah kawan baikku dahulu.'

      Hari ini, keputusan peperiksaan akan diumumkan. Aku tidak sabar-sabar untuk pergi ke sekolah. Setelah bersarapan dan menyalami ibu bapaku, aku turun ke bawah rumah untuk mengambil basikal burukku. Aku mengayuh basikal ke rumah kawan baikku dahulu.

      Sebaik-baik sahaja tiba di rumah Tasnim, aku diberitahu oleh ibu Tasnim yang dia sedang bersarapan. Ibunya mengajakku bersarapan sekali, namun aku menolak pelawaan ibunya dengan baik kerana aku sudah bersarapan. Selepas itu, aku dan Tasnim mengayuh basikal bersama-sama ke sekolah. Jalan raya pada hari itu agak sibuk dengan kenderaan. Jadi, aku dan Tasnim mengayuh basikal di bahu jalan dengan berhati-hati. 

      Sampai sahaja di dewan sekolah, aku melihat ramai murid dan ibu bapa berada di sana. Pelbagai gelagat dapatku lihat. Ada yang berbual-bual, ada yang duduk termenung dan ada juga yang kelihatan resah gelisah. Walaupun sedih kerana ibu bapaku tidak dapat turut serta, namun aku tetap tabahkan hati. Aku faham dengan kesibukan mereka. 

      Akhirnya, saat yang ditunggu-tunggu pun tiba. Ketika berbaris untuk mengambil slip keputusan peperiksaanku, guru kelasku, Puan Norhayati memandangku dengan renungan yang tajam. Aku mula rasa cuak dan tidak selesa. Aku menundukkan kepalaku ke bawah. Ketika Puan Norhayati memanggil namaku, aku menghalakan pandanganku ke depan. Pada waktu itu, aku dapat melihat beberapa orang guru sudah berdiri di hadapanku. Aku berasa amat takut. Tiba-tiba, guru besar menghulurkan tangannya untuk berjabat denganku. Di saat aku menyambut huluran tangannya, semua guru mengucapkan tahniah. Aku lantas dipeluk oleh guru kelasku. Aku dinobatkan sebagai murid cemerlang sekolah pada tahun itu. Aku bersyukur dan berasa sangat gembira. Air mataku berguguran di pipiku. Aku mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajar dan mendidikku selama ini.

      Selesai mengucapkan tahniah dan berjabat tangan dengan rakan-rakan, aku terus ke tempat letak basikal. Aku mengayuh basikal dengan laju menuju ke bendang. Dari jauh, aku dapat melihat ayah dan ibuku sedang minum di bawah dangau. Aku meloncat naik ke atas dangau dan terus memeluk mereka. Mereka kelihatan terkejut. Tetapi, sebaik-baik sahaja aku mengeluarkan slip keputusan peperiksaanku dari kocek seluar, mereka terus memelukku dengan erat dan menangis kegembiraan.

      Pada malam itu, sebelum tidur, ayah memanggilku. Aku berjalan menghampiri ayah yang duduk di anjung rumah. Ibu datang sambil menatang dulang yang berisi tiga cawan kopi lalu melabuhkan punggungnya di sebelah ayah. Ayah menghulurkan sesuatu kepadaku. Aku sungguh terkejut. Aku terharu apabila menerima seutas jam tangan yang cantik. Hal ini demikian kerana, sepanjang aku mendapat tempat pertama di sekolah, ayah mahupun ibuku hanya sekadar mengucapkan tahniah kepadaku. Sesungguhnya, inilah pengalaman manis yang tidak akan aku lupakan sampai bila-bila.

     

Jom Baca Karangan Keperihalan

Nota

  • Keperihalan merupakan karangan yang memerlukan murid memerihalkan atau menggambarkan sesuatu yang dilihat, didengan atau dialami sendiri.
  • Karangan ini ditulis berdasarkan pengalaman atau khayalan sendiri. Disebabkan itu daya imaginasi yang tinggi diperlukan untuk menghasilkan karangan yang menarik dan gramatis.
  • Keperihalan yang lengkap perlu ada pendahuluan, isi-isi penting dan penutup.
  • Lazimnya, bahagian pendahuluan  digambarkan perkara awal sebelum perkara seterusnya terjadi. Perkara akhir akan dimuatkan pada bahagian penutup yang mana perasaan anda terhadap keseluruhan cerita.  
Latihan :
Pada cuti persekolahan yang lalu, anda telah mengikut rakan anda pulang ke kampung datuk dan neneknya. Sepanjang bercuti di sana, anda telah melalui pelbagai pengalaman manis dan baru. Ceritakan pengalaman anda itu.

       Pada cutu persekolahan yang lalu, aku telah mengikut rakan rapatku, Khabir pulang ke kampung datuk dan neneknya di Kuala Kangsar, Perak. Kami bertolak ke Kuala Kangsar menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan ke sana, hatiku sangat gembira kerana inilah kali pertama aku berpeluang untuk bercuti di kampung.

      Kedatangan kami berdua disambut oleh datuk dan nenek Khabir, iaitu Tuk Mat dan Nek Mah dengan gembira. Pada sebelah malamnya, setelah bersolat Maghrib berjemaah, aku dan Khabir membantu Nek Mah menghidangkan makan malam di dapur. Lauk asam pedas keladi, ikan keli berlada, dan gulai ayam kampung yang dimasak oleh Nek Mah sangat menyelerakan. Pada keesokan paginya, Nek Mah merebus ubi kayu, menanak pulut, membuat sambal ikan bilis, dan menggoreng  ikan perkasam.Aku menikmati sarapan dengan berselera.

      Setelah bersarapan,kami mengikuti Tuk Mat pergi ke dusun duriannya. Kami pergi ke dusun Tuk Mat menaiki lori. Aku dan Khabir berasa sangat gembira ketika berada di dusun Tuk Mat. Kami berdua begitu asyik mengutip buah durian yang gugur. Banyak buah durian yang dapt kami kumpulkan. Tuk Mat menyuruh aku mengopek buah durian untuk dimakan. Pada mulanya, agak sukar untuk aku mengopek buah durian tersebut, Namun, setelah diberikan tunjuk ajar oleh Tuk Mat, akhirnya aku berjaya mengopek buah durian itu. Rasa buah durian tembaga di dusun Tuk Mat itu sungguh manis dan sedap. Selepas itu, kami membantu Tuk Mat menjual buah durian yang telah dikutip itu di gerainya di tepi jalan. Kami tersenyum riang apabila menerima upah daripada Tuk Mat.

      Pada keesokan harinya, Tuk Mat telah mengajar kami cara membuat dan bermain wau. Permainan tradisional ini sungguh menyeronokkan, tetapi memerlukan kemahiran yang tinggi untuk membuatnya. Malah, aku juga dapat merasa kedinginan mandi air perigi di belakang rumah Tuk Mat. Airnya sangat sejuk dan menyegarkan badan. Pada sebelah petangnya, kami berdua mengikut Tuk Mat menjala ikan di Sungai Panjang yang terletak di hujung kampung. Banyak ikan sungai yang kami peroleh seperti lampam dan tilapia. Ikan sungai yang kami tangkap menjadi lauk pada malam itu.

      Sebelum pulang, Tuk Mat dan Nek Mah membawa kami berkelah di Air Terjun Hutan Sehijau. Pemandangan di air terjun itu sangat cantik. Malahan, airnya sangat jernih dan udaranya juga sangat nyaman. Di sana, aku, Khabir dan Tuk Mat berpeluang memancing ikan dan bermandi-manda dengan sepuas hati.

      Sesungguhnya, pengalaman bercuti bersama-sama Khabir, Tuk Mat dan Nek Mah merupakan pengalaman manis yang sangat berharga untuk diriku. Walaupun berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan Tuk Mat dan Nek Mah, namun aku berjanji akan mengikut Khabir pulang ke kampungnya lagi pada cuti persekolahan yang akan datang.

Sunday 11 November 2012

Jom Baca Karangan Peribahasa

'Genggam bara api biar sampai jadi arang'

     Peribahasa 'genggam bara api biar sampai jadi arang' bermaksud membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah bersabar sehingga mencapai kejayaan. Peribahasa ini merupakan nasihat yang amat baik dan berguna terutamanya kepada murid-murid yang ingin mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

     Kisah yang boleh dikaitkan dengan peribahasa ini ialah tentang Halim yang merupakan murid darjah enam dan bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Sejak awal tahun, Halim tidak pernah lulus dalam ujian Matematik sedangkan subjek ini merupakan salah satu subjek yang penting. Hal ini menimbulkan kebimbangan dalam hatinya kerana dia tidak mahu gagal dalam peperiksaan. Apatah lagi, mengecewakan harapan ibu dan ayahnya yang selama ini mengharapkan dia beroleh kejayaan.

     Oleh yang demikian, Halim bertekad untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu berputus asa. Dia bersikap sabar serta rajin berusaha untuk berjaya dalam peperiksaan. Di sekolah, Halim sentiasa bertanyakan soalan yang tidak difahaminya kepada guru Matematik. Kadangkala, Halim juga akan merujuk kepada rakan-rakannya yang mendapat keputusan cemerlang dalam subjek tersebut. Dia tidak mahu ketinggalan untuk menguasai setiap topik yang diajar dalam ilmu hisab itu.

     Jika ada waktu terluang sama ada di rumah atau di sekolah, Halim rajin membuat latihan Matematik, terutamanya topik-topik yang sukar. Di rumah pula, Halim akan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya dua jam setengah untuk membuat latihan Matematik yang diberi oleh gurunya. Dia juga rajin membuat latih tubi Matematik di dalam buku kerja yang dibeli oleh ayahnya. Dia gigih berusaha untuk mencapai keputusan yang cemerlang. Dia yakin, dia mampu memperoleh kejayaan seperti orang lain juga.

     Beberapa bulan kemudian, peperiksaan UPSR pun tiba. Halim telah bersedia untuk menjawab soalan Matematik. Sepanjang peperiksaan subjek Matematik berlangsung, Halim menjawab dengan tenang dan penuh yakin. Segala kemahiran yang dipelajari digunakan ketika menjawab soalan. Setelah menanti dengan penuh sabar, akhirnya keputusan UPSR diumumkan. Halim mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR itu. Halim tidak menyangka dia akan mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut. Halim bersyukur atas kejayannya itu.

     Sifat Halim yang sabar dan rajin berusaha itu telah membuahkan hasil. Kisah Halim ini wajar dijadikan pengajaran serta teladan. Hal ini demikian kerana Halim telah membuktikan bahawa dalam hidup ini, kita harus bersabar dan rajin untuk beroleh kejayaan. Sesungguhnya tiada jalan singkat untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran. Hanya mereka yang sabar dan gigih berusaha akan mencapai apa yang diinginkan seperti peribahasa , 'genggam bara api, biar sampai jadi arang'.

Thursday 8 November 2012

NOTA TATABAHASA

AYAT PENEGAS

Kata Penegas ialah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan unsur penegasan dalam ayat.
  •     Kata Penegas yang menegaskan frasa predikat.  
           - Contoh : -lah, -tah, -kah
           -  Contoh ayat :

              a) Makanlah kek coklat yang dibuat oleh ibu saya ini.
             b)  Apatah yang difikirkan oleh Pak Lajis itu sehingga berkerut-kerut dahinya.
             c)  Siapakah yang datang ke rumah kamu semalam ?


  •   Kata Penegas yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat di mana frasa nama berfungsi sebagai subjek atau frasa predikat.
          - Contoh :  jua, juga, pun, lagi, sahaja, memang
          - Contoh ayat : 

             a)  Setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya pulang ke belakang kerbau jua.
             b)  Mereka juga ingin mengikuti ekspedisi ke Taman Rimba Kenong.
             c)  Puan Julia dan anaknya pun ingin mengunjungi Pesta Kraf Kebangsaan.
            d)  Dif kehormat belum tiba lagi ke Dataran Semantan untuk merasmikan majlis itu.
            e)  Spa kecantikan itu menawarkan rawatan untuk wanita sahaja.
            f)  Remaja kini memang gemar akan permainan komputer yang mengujakan.


KATA NAFI

  • Kata Nafi ialah perkataan yang digunakan untuk menafikan sesuatu.
           -  Digunakan untuk frasa nama dan frasa sendi nana.
          -  Contoh :  bukan
          -  Contoh ayat :

             a)   Rumah di atas bukit itu bukan kepunyaan Tun Syed Maulana.
             b)  Mereka sekeluarga bukan ke Pulau Kapas pada cuti persekolahan yang lalu.


           - Digunakan juga untuk frasa kerja dan frasa adjektif hanya apabila maksudnya 
              bertentangan maklumat.
            - Contoh ayat :

             a)  Kakak bukan malastetapi dia penat.
             b)  Yunna bukan mahu membeli apa-apa tetapi  dia hendak menjamu mata sahaja.

            -  Digunakan untuk frasa kerja dan frasa adjektif.
            -  Contoh :  tidak
            -  Contoh ayat :

             a)  Ibu tidak memasak pada hari ini kerana demam. 
             b)  Dia tidak menaiki bas lagi kerana ayahnya akan menghantarnya ke sekolah.
          
 

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN DAN KONVOKSYEN PRASEKOLAH 2012

Deklamasi sajak oleh murid-murid tahun 6

Megah menerima sijil dan piala konvokesyen

Berani dan yakin semasa persembahan murid prasekolah

Tersenyum bangga menerima ganjaran setelah berusaha tanpa jemu


Pada 8 November 2012 dengan semangat bersatu hati dan berganding bahu warga sekolah SK Tenggaroh 4 telah berjaya mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangan dan Konvokesyen Prasekolah  dengan meriahnya.
Hari Anugerah Kecemerlangan ini telah dirasmikan oleh SDO Felda Tenggaroh iaitu Puan Zaleha binti Tuhid.
Majlis seperti ini kerap diadakan untuk menghargai penat lelah dan hasil usaha murid-murid dalam mengejar kejayaan dan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik malah kokurikulum. Puan Aminah binti Daim, Guru Besar SK Tenggaroh 4 telah mengingatkan murid-murid agar teruskan usaha mencipta kejayaan kerana menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Pelbagai kategori hadiah yang disediakan untuk murid-murid seperti Kedudukan Terbaik, Pencapaian Band Terbaik, Mata Pelajaran Terbaik, Ketua dan Penolong, Kedatangan Terbaik, Pengawas dan Pustakawan Tahun 6 serta Tokoh Kurikulum dan Kokurikulum 2012. Tokoh Kurikulum pada tahun ini dinobatkan untuk Adik Izzat Ikmal bin Ismail dan Tokoh Kokurikulum pula khas buat Adik Muhamad Akmal bin Mustafa.

Wednesday 7 November 2012

NOTA TATABAHASA : KATA ADJEKTIF

KATA ADJEKTIF

  • Kata adjektif ialah kata yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu benda atau kata nama.
  •  Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat.
  • Kata adjektif boleh diiringi kata penguat hadapan, kata penguat belakang dan kata penguat bebas.
  • Berikut ialah ayat contoh bagi kata penguat yang mengiringi kata adjektif.
             a)  Baju pengantin itu kelihatan cantik sekali.
             b) Harga makanan di restoran itu terlalu mahal.
             c) Dania berasa sangat gembira kerana dia mendapat keputusan peperiksaan PMR yang 
                 cemerlang.
  •  Kata adjektif  dapat dibahagikan kepada sembilan jenis : 
  1.  Kata adjektif bentuk
           - Bola ragbi itu berbentuk lonjong.
           - Tayar basikal abang kempis kerana kurang angin.
           - Si Luncai meraba-raba perutnya yang buncit itu kerana kekenyangan.

     2.    Kata adjektif cara

          - Aly berjalan dengan cepat kerana dia sudah lewat ke sekolah.
          - Air Sungai Congak mengalir dengan deras sekali.
          - Penglihatan datuk sudah tidak berapa jelas sejak akhir-akhir ini.

    3.     Kata adjektif jarak

          - Kak Long jarang pulang ke rumah ibu kerana mereka sekeluarga tinggal agak jauh.
          - Hari Raya Aidilfitri sudah semakin hampir.
          - Tempat kejadian tanah runtuh itu berlaku dekat sekali dengan kebun datuk saya.

   4.     Kata adjektif sifatan atau keadaan

          - Rajendran berasa tidak berapa sihat pada hari ini.
         - Kulit bayi yang baru dilahirkan amat lembut.
         - Oleh sebab terlalu cerdik, Raihana telah terpilih untuk mewakili sekolahnya dalam kuiz itu.

   5.   Kata adjektif ukuran 

          - Orang ramai terpaksa berbaris panjang untuk membeli novel terbaharu itu.
          - Masyarakat Cina akan mengadakan makan besar sehari sebelum Tahun Baru Cina.
         - Bil elektrik di premis itu pada bulan ini melambung tinggi.

   6.  Kata adjektif waktu

          - Setiap hari, Nawwar keluar  awal kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu 
             lintas.
          - Masa yang diperlukan untuk menenun kain songket agak lama.
          - Masa yang diberikan untuk menyiapkan kerja itu agak suntuk.

   7.  Kata adjektif warna
  
         - Isi mangga yang sudah masak itu berwarna kuning.
         - Kereta yang baru dibeli oleh ayah berwarna hitam.
         - Kita perlu membuang kertas ke dalam tong kitar semula yang berwarna kuning.

   8.  Kata adjektif pancaindera

          - Masakan ibu sememangnya sedap.
          - Budak yang comel itu bernama Nurul Amirah.
          - Jeritan kanak-kanak yang sedang bermain di padang kenderangan nyaring sekali.

   9.  Kata adjektif perasaan

          - Haniza berasa segan untuk tinggal lebih lama di rumah bapa saudaranya.
          - Saya turut  gembira  dengan kejayaan abang  dalam peperiksaan SPM tahun ini.
         - Iskandar amat sayang akan biola peninggalan datuknya itu.

JAMUAN TAHUN 6 2012

Berselera menikmati jamuan bersama-sama rakan

Kreativiti murid menghias meja jamuan membangkit selera

Meja jamuan dihias bagai hotel lima bintang,syabas atas kerjasamm kumpulan

Sabar menanti untuk menjamu selera dengan juadah yang menarik

Pada 2 November 2012, murid-murid tahun 6 dengan kerjasama guru kelas telah mengadakan jamuan akhir tahun sebelum melangkah ke sekolah menengah. Jamuan ini diadakan sebagai  aktiviti terakhir murid tahun 6 pada  tahun ini. Jamuan ini jua diadakan khas untuk menjamu guru-guru sebagai menghargai jasa setelah hampir 7 tahun mereka berada di SK Tenggaroh 04. Segala persiapan meja dan peralatan dilakukan oleh murid-murid sendiri hasil kerjasama kumpulan, sehinggalah terhasil meja-meja jamuan bagaikan berada di hotel empat bintang. Sebagai guru kelas, cikgu berharap jamuan yang  diadakan ini dapat dijadikan salah satu kenangan terindah sepanjang berada di sekolah rendah. Harapan cikgu agar anak-anak didikku akan terus mengorak kejayaan dan kecemerlangan ketika di sekolah menengah kelak.

Thursday 1 November 2012

KEJOHANAN MERENTAS DESA 2012

Murid-murid beratur untuk membuat aktiviti regangan sebelum berlari

Murid perempuan dan lelaki bawah 10 bersedia untuk berlumba bagi menempa nama

Dengan semangat kesukanan tetap meneruskan larian

Jelas kelihatan perbezaan usia tetapi tetap meneruskan aktiviti

Pada 29 Oktober 2012 sehari sebelum kejohanan sukan, telah berlangsung kejohanan Merentas Desa di persekitaran Kampung Felda Tenggaroh 4.Majlis ini berlangsung dengan lancar bermula jam 8.30 pagi dengan trek sejauh 2.5 kilometer.Kesemua murid telah mengambil bahagian dengan semangat kesukanan. Murid-murid tahap satu yang terdiri daripada murid tahun satu, dua dan tiga tidak ketinggalan mengambil bahagian dan kebanyakkan mereka telah menunjukkan bakat kesukanan yang tinggi. Walaupun trek agak jauh buat mereka tetapi semangat kesukanan tetap membara dan telah berjaya menamatkan larian dengan jayanya. Syabas anak-anak didikku. Johan merentas desa pada tahun 2012 telah disandang oleh rumah hijau.Syabas dan tahniah.

KEJOHANAN OLAHRAGA KALI KE 17

Kegembiraan jelas terpancar pada air muka anak didikku

Padang yang lecak tidak membatas semangat kesukanan

Semangat yang kental untuk menjadi juara

Bangga untuk mendapat habuan atas penat lelah



Kejohanan olahraga yang begitu meriah telah berlangsung pada 30 Oktober di padang SK Tenggaroh 4. Walaupun kami dibasahi dengan hujan yang lebat setelah 1 jam sukan berlangsung tetapi dugaan itu tidak mematahkah semangat anak-anak didikku untuk bertarung merebut kejayaan. Rumah kuning ( rumah sukanku),rumah hijau, rumah biru dan rumah merah berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapat johan keseluruhan walaupun padang lecak bagai bendang.Walau bagaimanapun aktiviti sukan berlangsung dengan jayanya. Setelah hujan yang turun selama setengah jam berhenti, kami tetap meneruskan majlis hingga akhirnya.Semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh anak-anak didikku telah memberi gambaran kepada kami akan pentingnya aktiviti seperti ini selaras dengan program 1 Murid 1 Sukan. Tahniah diucapkan kepada ahli-ahli rumah sukan biru yang telah menjadi juara keseluruhan pada tahun ini dan rumah sukanku pula iaitu rumah kunimg mendapat tempat kedua.Tahniah anak-anak didikku.

Sunday 21 October 2012

Kem Motivasi Murid Tahap Dua (KMMTD) 2012







Kem Motivasi Murid Tahap Dua disertai oleh para pengawas, pustakawan, ketua dan penolong kelas. Kem sehari ini telah dijayakan pada hari Sabtu pada minggu pertama cuti pertengahan penggal. Kem ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar tentang bidang tugas mereka. Pelbagai aktivit telah dijalankan sepanjang sehari kem ini berlangsung. Antara aktiviti yang dijalankan seperti latihan dalam kumpulan (LDK), ceramah kepimpinan,mencari harta karun dan meredah ranjau. Aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk memupuk semangat kepimpinan dalam diri pelajar, nilai-nilai murni, kreativiti dan jati diri. Guru-guru berharap barisan pemimpin ini dapat membantu guru melahirkan murid-murid yang berdisiplin dan berkualiti dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

Lawatan Sambil Belajar ke Kuala Lumpur dan Melaka



Lawatan ke Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur

Lawatan ke Kapal Diana di Melaka

Lawatan ke KLCC di Kuala Lumpur

Lawatan Sambil Belajar ke Kuala Lumpur ini diadakan pada 5, 6 dan 7hb Oktober 2012. Lawatan ini merupakan program selepas peperiksaan UPSR. Kebanyakan murid yang turut serta dalam lawatan ini terdiri daripada murid tahun 6 dan selebihnya murid tahun 4 dan 5. Program ini merupakan salah satu daripada aktiviti sekolah. Program seperti ini dapat memberi pendedahan kepada murid-murid tentang ilmu pengetahuan dan menimba pengalaman. Daripada raut wajah murid-murid saya ini dapat digambarkan betapa seronoknya mereka mengikuti lawatan sambil belajar tersebut disamping guru-guru pengiring. Rata-rata tempat yang dikunjungi memberi banyak manfaat kepada murid yang dapat diaplikasi dalam pembelajaran ketika di dalam kelas.Diharap program seperti ini dapat dirancang setiap tahun untuk melahirkan murid-murid yang berilmu pengetahuan  dan jangan jadi seperti katak di bawah tempurung.

Saturday 6 October 2012

BAHASA MELAYU TAHUN 6

Bahagian C

Contoh menjawab Bahagian C ( Bahasa Melayu 2 )

Tulis lima nilai murni yang kamu peroleh daripada petikan di bawah.

     Karim menaiki monorel untuk pergi untuk pergi ke Stesen Sentral Kuala Lumpur. Apabila tiba di stesen itu, Karim melihat seorang lelaki  buta hendak menyeberangi jalan. Perasaan simpati timbul dalam hatinya. Tanpa membuang masa, dia mendekati lelaki  itu. Dia membantu lelaki itu melintas jalan dengan selamat.
    
Selesai membantu lelaki buta itu, Karim meneruskan perjalanannya ke sebuah kedai buku di Taman Jaya. Dia menaiki LRT untuk pergi ke sana. Dia ingin membeli beberapa buah buku cerita. Dia menjadikan amalan membaca  sebagai aktiviti pada masa lapang. Oleh sebab itu, dia pernah dinobatkan sebagai Tokoh Nilam peringkat sekolah.

     Setelah membeli buku yang dikehendaki, Karim bergegas pulang. Sesampainya di rumah, kelihatan ibunya sedang berbual dengan Mak Cik Lina, jiran sebelah rumahnya. Karim menegur Mak Cik Lina dengan muka yang manis. Kemudian, dia meminta diri untuk masuk ke dalam rumah.

Jawapan Contoh :

Belas kasihan              :  Karim simpati melihat seorang lelaki buta hendak melintas jalan.
Baik hati                      :  Karim membantu lelaki buta itu melintas jalan dengan selamat.
Memanfaatkan masa  :  Karim yang menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti masa lapang.
Menghormati              :  Karim menegur Mak Cik Lina dengan muka yang manis.
Berhemah tinggi         :  Karim meminta diri untuk masuk ke dalam rumah daripada Mak Cik Lina
                                      dan ibunya.


      Berdasarkan petikan, kita mestilah bersikap belas kasihan seperti Karim simpati melihat seorang lelaki buta hendak melintas jalan. Selain itu, kita patutlah mengamalkan sikap baik hati seperti Karim membantu lelaki buta itu melintas jalan dengan selamat. Seterusnya, kita patutlah memanfaatkan masa seperti Karim yang menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti masa lapang. Disamping itu, kita wajarlah menghormati orang yang lebih tua daripda kita seperti Karim menegur Mak Cik Lina dengan muka yang manis. Akhirnya, kita hendaklah berhemah tinggi seperti Karim meminta diri untuk masuk ke dalam rumah daripada Mak Cik Lina dan ibunya.